18 Nov 2009

 

Perolehan Operasi Hospitaliti TA Enterprise Dijangka Naik Pada 2010

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- TA Enterprise Bhd, anggota TA Group, menjangka sumbangan perolehan daripada operasi hospitalitinya meningkat tiga kali ganda tahun depan.

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya, Datin Alicia Tiah berkata ini berikutan pertambahan pemerolehan portfolio hotel tahun ini.

Laporan tahunan syarikat bagi 2009 menunjukkan bahagian hotel menyumbang RM76 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Jan, 2009.

"Kami berharap dapat menyaksikan jumlah ini meningkat tiga kali ganda di masa depan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sini Rabu.

Tiah berkata syarikat yakin masa depan pasaran hospitaliti untuk berkembang amat positif dan seiring dengan tinjauan masa depan ekonomi global yang bertambah baik.

Mengenai pemerolehan baru itu, beliau berkata hotel empat bintang bernilai RM635.805 juta itu, Swissotel Merchant Court di Singapura, merupakan sebahagian daripada rancangan TA Enterprise untuk meningkatkan operasi hospitaliti.

Menurut Tiah, syarikat hartanah dan pembrokeran juga telah memperuntukkan S$5 juta (S$1.00=RM2.44) untuk menambah baik hotel yang baru diperoleh itu.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah untuk lima tahun akan datang bagi tujuan menaik taraf kawasan awam, dan dalaman serta kemudahan mesyuarat hotel itu.

Pembelian hotel itu melibatkan pemerolehan 50,569,495 saham biasa baru AS$1 setiap satu dalam Quayside Gem Ltd (QGL), yang mewakili 100 peratus modal saham terbitan dan berbayar syarikat daripada dana pelaburan hartana, LaSalle Asia Opportunity II SARL.

"Kami percaya Swissotel akan menyediakan aliran perolehan yang kukuh kepada operasi hospitaliti TA Group," katanya.

Tiah berkata syarikat merancang untuk memindahkan Swissotel kepada TA Global untuk pengurusan sinergistik yang lebih baik, memandangkan semua hotel sedia ada TA Group dipegang di bawah syarikat itu.

Pada masa ini, TA Group melalui TA Global memiliki tiga hotel lain, termasuk Radisson Plaza Hotel Sydney dan Westin Melbourne di Australia serta Aava Whistler, Kanada.

Tiah berkata syarikat juga berharap untuk menyelesaikan satu lagi pemerolehan tahun ini.

Beliau bagaimanapun, enggan menjelas lanjut mengenainya dan menyatakan syarikat akan terus meninjau bangunan komersil, hotel dan tanah dalam dan luar negara.


 

Source: Bernama