16 May 2009
TAE senarai TAG di Bursa akhir September
KUALA LUMPUR 15 Mei - Syarikat broker saham, TA Enterprise Bhd. (TAE) akan menyenaraikan unit hartanah terbarunya, TA Global (TAG) di Bursa Malaysia pada akhir September depan sebagai pemangkin aktiviti pembangunan hartanahnya.
Sehubungan dengan itu, TAG akan memberi fokus kepada dua aktiviti terasnya iaitu hartanah dan operasi hospitaliti.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TAE, Datin Alicia Tiah berkata, penyenaraian itu bertujuan memberi penghargaan kepada pemegang saham.
Sebelum ini, katanya, unit pembangunan hartanah berada di bawah pengurusan TAE dan apabila diasingkan di bawah satu entiti, ia akan menjadi syarikat hartanah yang terbesar di Malaysia.
Beliau memberitahu, penyenaraian TAG akan menyokong pertumbuhan industri hartanah dan meningkatkan nilai pasarannya.
''Para pemegang saham sudah terlalu lama menunggu TAE menubuhkan syarikat hartanah terbaru yang berpotensi.
''Kami ingin menjadi terbaik dalam pengurusan aset dan modal,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media mengenai penyenaraian TAG di Bursa Malaysia di sini hari ini.
Melalui penyenaraian tersebut, modal pasaran TAG yang dicadangkan ke Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah sebanyak RM1.8 bilion manakala pasaran modal yang sudah diluluskan setakat 6 Mei lalu oleh SC adalah sebanyak RM1.5 bilion.
Setelah cadangan dividen dan cadangan penyenaraian diluluskan, TAE akan menguasai 38 peratus kepentingan ekuiti di dalam TA Global.
Sementara itu, Alicia memberitahu, TAG merancang membangunkan pangsapuri perkhidmatan Aava, Jalan Imbi di Bukit Bintang selain memajukan industri perhotelan di sini.
Source: Utusan Malaysia
|