2009


6 Oct 2009

 

Rancang ceburi modal teroka

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - TA Enterprise Bhd. (TA Enterprise) merancang untuk memasuki perniagaan modal teroka dengan menumpu terhadap sektor perkhidmatan kewangan selain memantapkan kewangan korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Datin Tan Kuay Fong berkata, perkara itu bagaimanapun masih lagi di peringkat awal.

 

"Kami belum memuktamadkannya kerana keputusan akhir tertakluk kepada Lembaga Pengarah tetapi jika dilaksanakan dengan betul, kami mampu meraih keuntungan besar," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) TA Enterprise, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusinya, Datuk Thia Thee Kian.

 

Menurut Kuay Fong, pihaknya juga berhasrat untuk memantapkan kewangan korporat pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya akan menyenaraikan anak syarikatnya TA Global Bhd. (TAG), pada 23 November ini tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti manakala prospektus akan dilancarkan pada 30 Oktober ini.

 

"Setelah penyenaraian itu, TA Enterprise akan memiliki kepentingan sebanyak 57.3 peratus dalam TAG," ujarnya.

 

''TA Enterprise bakal mempunyai pegangan tunai berjumlah RM230 juta jika kesemua saham bumiputera dan umum dilanggan penuh. Dana ini akan digunakan untuk menceburi perniagaan baru modal teroka,'' kata beliau.

 

Sementara itu, Thee Kian berkata, pendapatan TA Enterprise bergantung kepada pasaran saham kerana perniagaan mereka menjurus kepada pelabur runcit.

 

"Jika pasaran baik, maka pendapatan juga meningkat. Pendapatan pembrokeran daripada TA Hong Kong juga memberikan pulangan yang baik kerana berhampiran dengan China yang mempunyai pasaran besar tetapi sebahagian besar pendapatan masih dari Malaysia," ujarnya.

 

Mengenai rancangan membeli hotel-hotel, beliau berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang khususnya ketika kemelesetan ekonomi berikutan harga adalah lebih murah.

 

"Kami sentiasa terbuka kepada idea dan peluang terutamanya hotel di London, United Kingdom; dan Vancouver, Kanada, sama ada untuk persendirian atau usaha sama.

 

"Jika harga berpatutan dan lokasi strategik serta sejajar dengan sinergi syarikat yang mampu memberikan aliran masuk pendapatan yang stabil, maka kami akan mempertimbangkan," kata Thee Kian.

 

Source: Utusan Malaysia