2009


6 Oct 2009

 

TAE perluas operasi ceburi pelaburan modal teroka

 

TA Enterprise Bhd (TAE) bercadang menceburi pelaburan modal teroka yang berpotensi menjana keuntungan memberangsangkan, sebagai tambahan kepada perniagaan terasnya dalam pembrokeran saham, pengurusan dana serta dagangan unit amanah dan derivatif.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datin Alicia Tiah, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menceburi bidang perniagaan baru itu memandangkan syarikat akan memiliki tunai berjumlah RM230 juta sebaik penyenaraian anak syarikatnya, TA Global yang dijang-ka pada 23 November ini.

Bagaimanapun, katanya, cadangan berkenaan masih pada peringkat awal dan belum dimuktamadkan oleh lembaga pengarah syarikat.


“Kami mahu memulakan perniagaan itu secepat mungkin. Sudah pasti pembiayaan akan diberikan kepada perniagaan baru berpotensi besar yang mampu menjana pulangan menarik kepada syarikat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) TAE, di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif TAE, Datuk Tony Tiah Thee Kian.

Prospektus penyenaraian TA Global itu dijangka dikeluarkan pada 30 Oktober ini.

Alicia berkata, selepas penyenaraian, TAE akan memegang 57.3 peratus kepentingan dalam TA Global yang akan mengendalikan kepentingan hartanah kumpulan.

Berikutan cadangan itu juga, TAE akan memiliki aliran tunai baru berjumlah RM230 juta, manakala TA Global meraih RM135 juta.

Cadangan penyenaraian itu bertujuan membahagikan kumpulan TA kepada dua entiti perniagaan teras iaitu bahagian kewangan diletakkan di bawah TAE, manakala hartanah dikendalikan oleh TA Global.

Pada EGM itu juga, pemegang saham syarikat meluluskan cadangan pengambilalihan keseluruhan saham dalam Mauritius Company Quayside Gem Ltd, yang memiliki Merchant Quay Pte Ltd, Singapura.

Pengambilalihan syarikat yang memiliki hotel empat bintang Swissotel Merchant Court Singapura itu membabitkan pertimbangan S$260 juta.

Alicia berkata, pengambilalihan yang dilunaskan menerusi dana dalaman sebanyak S$150 juta dan bakinya menerusi pinjaman bank, itu dijangka selesai sepenuhnya pada 30 November ini.

Sementara itu, Tony berkata syarikat tidak menolak kemungkinan menambah aset hartanahnya di luar negara jika mendapat tawaran harga menarik dan lokasi yang sesuai.

Katanya, pendekatan yang lazim diambil syarikat adalah melaksanakan pengambilalihan ketika berlaku kemelesetan ekonomi kerana ketika itu harga yang ditawarkan lebih rendah, malah kadar pembiayaan juga lebih rendah.

Saiz pengambilalihan pula tidak banyak berbeza dengan nilai yang dibelanjakan untuk mengambil alih Swissotel di Singapura sekitar RM600 juta, katanya.

 

Source: Berita Harian